Iklan

16 April 2009

Tokoh ulama nusantara Bah 1

Reaksi: 
TOKOH-tokoh ulama yang dibicarakan ini masih lagi berkisar tentang keterlibatan mereka dalam penulisan ilmu hadis. 

Sebelumnya, telah diperkenalkan beberapa ulama-ulama Nusantara yang juga menghasilkan penulisan-penulisan sedemikian, antaranya iaitu: Sheikh Abdullah Bin Abdul Mubin al-Fathani, Sheikh Daud Bin Abdullah al-Fathani, Sheikh Nawawi al-Bantani, Sheikh Wan Ali Kutan Kelantan, dan Sheikh Ahmad al-Fathani.

Kesinambungan daripada itu, dibicarakan pula sebahagian lagi tokoh ulama yang juga terlibat dalam penulisan ilmu tersebut. 

Perlu dijelaskan bahawa sekelian tokoh ulama yang dibicarakan berkaitan penulisan hadis ini pernah diperkenalkan secara khusus sebelumnya. Namun perbicaraan ini pula hanya tertumpu pada penulisan hadis dan perkembangannya.


Sheikh Ahmad Lingga 

Ulama yang berasal dari Riau-Lingga yang menghasilkan beberapa buah karangan ini nama lengkapnya ialah Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga. Salah sebuah daripada karangannya ialah mengenai hadis yang diberinya judul Nashihatu Ahlil Wafa 'ala Washiyatil Mushthafa, yang diselesaikan di Mekah, pada hari Sabtu, 11 Syawal 1312 H/1895 M. Ia merupakan terjemahan wasiat Nabi Muhammad SAW kepada Saidina Ali Karamahullahu Wajhah yang pertama dalam bahasa Melayu.


Sheikh Utsman Pontianak 

Nama lengkap beliau ialah Sheikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani al-Banjari, merupakan salah seorang ulama yang berasal dari Pontianak, berketurunan ulama Banjar, yang juga menghasilkan beberapa buah karangan.Karangan beliau mengenai hadis ialah Irsyadul 'Ibad Penjaga Dan Bekal Hari Akhirat, disingkat Irsyadul 'Ibad, yang diselesaikan tahun 1324 H/1906 M, juga dicetak dalam tahun itu oleh Matba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah. Kitab tersebut adalah terjemahan daripada kitab Munabbihat 'alal Isti'dadi li Yaumil Ma'ad karya Sheikh Ibnu Hajar al-'Asqalani. 

Irsyadul 'Ibad merupakan terjemahan secara lengkap kitab tersebut yang dilakukan oleh Sheikh Utsman Pontianak, kitab yang sama pernah diterjemahkan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani tetapi hanya dipilih beberapa hadis saja. Pilihan hadis dari kitab Sheikh Ibnu Hajar al-Asqalani oleh Sheikh Ahmad al-Fathani itu dimuat pada beberapa halaman Hadiqatul Azhar

Kitab yang sama juga pernah dibahas oleh Sheikh Nawawi al-Bantani yang diberi judulNashaihul 'Ibad yang telah dibicarakan sebelumnya.


Sheikh Mahfuz At-Tarmasi 

Ulama yang berasal dari Termas ini menghasilkan beberapa kitab dalam bahasa Arab, karyanya dalam bentuk yang tebal. Nama lengkapnya ialah: Sheikh Muhammad Mahfuz ibnu al-'Allamah al-Haji Abdullah ibnu al-Allamah al-Haji Abdul Mannan at-Tarmasi. Lahir tahun 1285 H/1868 M di Termas, Jawa Tengah. 

Dalam karyanya judul Kifayatul Mustafid lima 'Ala minal Asanid, disingkat Kifayatul Mustafid membicarakan berbagai-bagai sanad. Pada halaman 10 sehingga halaman 19, khusus membicarakan sanad-sanad ilmu hadis mulai beliau, gurunya, hingga kepada yang lebih atas.Mengenai Al-Jami' Shahih Bukhari pula, beliau khatam sebanyak empat kali, belajar kepada beberapa ulama dengan sanad yang berbeza-beza. Beliau pelajari hadis tersebut kepada Saiyid Abu Bakar Syatha (1266 H/1849 M-1310 H/1892 M), melalui sanad Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan (1231 H/1815 M-1304 H/1886 M) hingga sampai kepada Imam Bukhari.

Kitab hadis yang sama beliau belajar kepada Saiyid Husein ibnu Saiyid Muhammad al-Habsyi. Saiyid Husein al-Habsyi belajar kepada ayahnya Saiyid Muhammad bin Saiyid Husein al-Habsyi melalui sanad Sheikh Umar bin Abdul Karim bin Abdur Rasul al-Athar hingga sampai kepada Imam Bukhari. 

Beliau juga belajar kitab Shahih Muslim, Sunan Ibnu Majah, Musnad Imam Abi Hanifah, Musnad Imam Syafi'ie, Musnad Imam Ahmad bin Hanbal, Mukhtasar Abi Jamrah, Asy-Syifa', Al-Arba'un an-Nawawiyah, Asy-Syamail juga kepada Saiyid Abu Bakar Syatha yang tersebut. Sunan Abi Daud dan Muwaththa' Imam Malik kepada Saiyid Muhammad Amin Ridhwan al-Madani di Madinah.Sunan Tarmizi dan Sunan Nasai

kepada Sheikh Muhammad Sa'id Babshail, dan lain-lain yang belum disebutkan. Semua penerimaan ilmu hadis itu dibicarakan dengan sanad sampai kepada pengarang sesuatu kitab itu, sanad-sanad itu ada yang sama dan ada yang berbeza-beza pengambilannya. Karya Sheikh Muhammad Mahfuz Termas tentang hadis yang agak besar ialah Manhaj Zawin Nazhar, yang pernah dicetak berkali-kali di Mekah dan Surabaya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan